FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
" Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara "
FALSAFAH PENDIDIKAN YAYASAN ISLAM KELANTAN
Pendidikan Islam sebagaimana yang diterangkan pengertian dalam istilah-istilah ta’dib, irsyad dan tadris adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu muslim sebagai hamba Allah dan khalifah-nya di bumi secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, aqliah, emosi, aqidah dan jasmani berdasarkan kepada ajaran Islam. Usaha ini adalah untuk melahirkan Muslim yang beriman, berilmu pengetahuan, beramal soleh dan layak berkhidmat untuk membangunkankeluarga, masyarakat, negara dan umat.